PRN Johor: BN sasar kemenangan dua pertiga – Ismail Sabri
Perdana Menteri berkata beliau melihat peluang kemenangan BN pada pilihan raya kali ini adalah cerah, namun gabungan parti itu tidak mahu hanya memperoleh majoriti mudah.
“Peluang, sudah tentu saya mewakili Barisan Nasional tentu saja peluang bagi saya adalah baik tetapi seperti saya katakan setiap apa pun pertandingan sebelum wisel penamat ditiupkan dan diisytiharkan kemenangan, kita masih tidak boleh katakan kita sudah menang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.
Justeru, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata jentera parti mesti terus bekerja sehingga diumumkan pihak yang menang dan yang kalah.
“Saya harap walaupun saya yakin, Menteri Besar Johor pun yakin, Datuk Seri Hishammuddin pun yakin tetapi tidak cukup untuk yakin, jentera mesti terus bekerja seperti kita belum menang supaya kita mendapat pencapaian lebih baik.
Seperti saya katakan kita tidak mahu majoriti mudah, kita nak lebih daripada majoriti mudah, kalau boleh dua pertiga kerusi dimenangi BN,” katanya.
BN membariskan 56 calon untuk bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 12 Mac manakala undi awal pada Selasa ini. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.