Sedia lokar di sekolah tangani isu beg berat – Radzi
PUTRAJAYA, 6 Mac – Penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa mulai tahun ini akan dilaksanakan sebagai pendekatan menangani isu beg berat murid, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata ia melibatkan dua fasa, dengan fasa pertama murid tahap satu iaitu Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga yang beroperasi secara dua sesi dan akan membabitkan 10,662 kelas serta 323,186 murid dengan anggaran peruntukan RM37.3 juta.
Katanya bagi fasa kedua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid tahap dua iaitu Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam yang beroperasi secara dua sesi dengan pelaksanaan dijangka pada 2023.
“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.
“Selain itu, jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari akan dilaksanakan mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan,” katanya.
Di samping itu, Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan memberi kelonggaran kepada sekolah untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah di bawah KPM.
Menurutnya bilangan buku latihan pula hendaklah tidak melebihi dua buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa dan setiap buku latihan tidak melebihi 80 muka surat.
“Murid hanya dibenarkan menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM, manakala buku kerja boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) sahaja.
“Guru pula digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali atau pembelajaran terbeza,” kata Radzi.
Sementara itu, menurutnya lagi penerbitan buku teks dalam format digital akan dibuat secara berterusan dan sehingga kini sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), yang boleh diakses oleh semua murid yang mempunyai peranti.
Dalam pada itu, Radzi berkata KPM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari aspek penyelarasan uniform, agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“KPM akan memantau pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan itu bagi memastikan matlamat untuk mengurangkan isu beg berat murid tercapai. Pemantauan dibuat oleh sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif tersebut.
“Kerjasama erat dengan ibu bapa dan penjaga juga akan terus ditingkatkan khususnya dalam memastikan murid membawa buku mengikut jadual ditetapkan, di samping sesi libat urus dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sebagai satu pendekatan pemantauan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.