Berhabis hampir RM8,000 beli bot hadapi kemungkinan banjir

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER LIMAU 6 Mac – Lelaki warga emas sanggup mengeluarkan kos RM7,700 untuk mendapatkan perahu gentian kaca dan enjin motor sangkut baharu semata-mata untuk menghadapi kemungkinan banjir di masa akan datang.

Penduduk Kampung Telok Berembang Lubok Cina, di sini, Yusof Hassan, 72, tidak keberatan menghabiskan wang untuk mendapatkan perahu gentian kaca dan enjin motor sangkut 10 kuasa kuda semata-mata bagi memastikan keselamatan anggota keluarganya terjamin jika banjir melanda lagi.

Pengalaman mengharungi banjir besar pada 18 Dis tahun lalu mendorong Yusof untuk membelanjakan wang berkenaan demi keselamatan sendiri dan anaknya, Mohd Reini, 45 bersama dua cucunya.

“Saya amat terkesan dengan banjir besar pada Disember lalu kerana hanya memiliki perahu yang sudah uzur dan berbahaya untuk digunakan.

“Saya dan anak menempah perahu bernilai RM2,000 itu sebulan lalu, selain membeli enjin motor sangkut bernilai RM5,700 dan alhamdulillah hari ini kami sudah boleh menggunakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Dalam pada itu, Mohd Reini berkata, selain bermanfaat ketika musim banjir, perahu baharu itu juga membolehkannya mendapatkan rezeki tambahan memancing udang galah di Sungai Ramuan Cina untuk dijual pada harga RM70 sekilogram.

“Saya hanya bekerja kontrak membina rumah dan dengan adanya perahu serta enjin baharu itu, saya boleh memanfaatkannya untuk memancing dan menambah pendapatan.

“Sebagai penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai, amat penting untuk kami memiliki perahu gentian kaca yang amat berguna semasa musim banjir dan untuk mencari rezeki tambahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1956
Kongsi :
Previous post Melaka United buka tirai Liga Super dengan kekalahan
Next post MFL kesal budaya samseng bola sepak
Ubah saiz-+=