Melaka bakal wujudkan Rainbow Village tarik minat geng ‘bikers’
BANDA HILIR 5 Mac – Kerajaan negeri bakal memperkasa subsektor pelancongan sukan bermotor dengan mewujudkan sebuah tempat khusus untuk peminat sukan bermotor di negara ini.
EXCO Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, mengikut perancangan, kawasan itu akan dikenali sebagai ‘Rainbow Village’ yang mana ia akan turut menempatkan lokasi pameran hasil seni kenderaan yang diubah suai untuk tatapan peminatnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan akan dimaklumkan secara lebih lanjut selepas mendapat kelulusan.
“Lokasinya saya tak nak beritahu di mana, bila dah siap dan projek pembangunannya sudah bermula saya akan maklumkan.
“Apa yang pasti kita rancang untuk dalam Rainbow Village itu akan diadakan satu elemen dikenali sebagai ‘Bikers Heaven’ yang mana akan ada pameran hasil karya seni kenderaan ‘custom’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Program Pencarian Pengunjung Bertuah ke 8 Juta di Pekarangan Menara Taming Sari, di sini hari ini.
Hadir sama, EXCO Kerja Raya Negeri Datuk Rahmad Mariman dan EXCO Belia dan Sukan Negeri V P Shanmugam.
Dalam pada itu, ujarnya, dalam usaha menjadikan Melaka sebagai antara destinasi pelancongan sukan, pihaknya juga bakal merancang untuk menganjurkan acara larian.
Bagaimanapun, katanya, acara larian itu akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.