Guru rugi lebih RM20,000 ditipu urusan jual beli perabot
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, mangsa yang berusia 42 tahun itu mendakwa berminat membeli perabot meja solek selepas melihat iklan menjual barangan terbabit di Facebook.
“Mangsa kemudiannya menekan pautan yang diberikan dan telah mengisi butiran peribadi termasuk akaun bank menerusi pautan itu, selain diminta membayar RM10 sebagai yuran keahlian, bagi membolehkan dia membeli perabot dengan harga rendah.
“Wanita itu cuba membayar melalui pindahan wang tetapi tidak berjaya sekali gus gagal untuk melakukan pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hoo berkata wanita terbabit yang berasa curiga telah membuat semakan ke atas akaun Tabung Hajinya dan mendapati wangnya berkurang sebanyak RM16,060 dan dipindahkan ke akaun Bank Islam miliknya.
Beliau berkata mangsa seterusnya mendapati berlaku transaksi pengeluaran wang dari akaun bank Islamnya ke dua akaun e-wallet yang berbeza, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,120.
“Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.