Lubang muat tubuh budak ancam penduduk Kampung Pantai
KUALA SUNGAI BARU 25 Ogos – Seramai 15 orang dari tiga keluarga nelayan di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, di sini dibelenggu kebimbangan berikutan pembentukan lubang yang muat tubuh kanak-kanak di pantai berhampiran kediaman mereka.
Tujuh lubang yang muat tubuh budak di tebing pemecah ombak berhampiran kediaman mereka meresahkan keluarga terbabit kerana ia dikesan semakin meluas dari semasa ke semasa.
Lubang yang terbentuk baru-baru ini dibimbangi mengancam keselamatan kanak-kanak yang sering bermain di pantai itu, selain berpotensi membesar dan mengancam keselamatan penghuni terbabit.
Norizam Suboh, 55, berkata beliau dan penghuni lain terkejut apabila mendapati ada tujuh lubang terbentuk di kawasan berkenaan pagi kelmarin.
“Dua hari sebelum lubang itu terbentuk, ombak besar melanda pantai di kampung ini yang dipercayai menyebabkan pasir pantai di bahagian bawah timbunan batu tembok penahan ombak ditarik ke laut.
“Hakisan di bahagian bawah bongkah batu itu meresap hingga ke atas dan menyebabkan pasir pantai berlubang sebesar badan budak dan ia amat membimbangkan kami, terutama keselamatan anak kami yang selalu bermain di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian baru-baru ini.
Selain Norizam dan empat anggota keluarganya, ada 11 orang dari dua keluarga jirannya turut menghuni kediaman berhampiran tembok penahan ombak itu yang siap dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pada Disember tahun lalu.
Beliau menjelaskan, tembok berkenaan dibina bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang mengancam keselamatan penduduk kampung itu sejak September tahun lalu.
Katanya, ombak besar yang berpunca daripada angin kencang dari arah selatan dan barat yang membadai pantai itu mengakibatkan masalah hakisan berulang kembali tetapi kali ini terhalang oleh tembok berkenaan.
“Alhamdulillah, tembok penahan ombak sepanjang kira-kira 100 meter yang dibina JPS berjaya menghalang masalah hakisan kembali menghantui kami tetapi pembentukan lubang berkenaan menunjukkan hakisan sudah bermula kembali,” katanya.
Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, beliau sudah mengarahkan sepasukan jurutera jabatan itu menjalankan siasatan kejadian itu bagi membuat cadangan kaedah mengatasinya.
Katanya, tembok berkenaan dibina hampir serentak dengan projek yang sama di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dan Kampung Tengah di Kuala Sungai Baru pada Disember lalu bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Melaka Barat.
Katanya, ia dibuat melalui melalui teknik pembinaan batu lapis lindung atau ‘rock revetment’ yang setiap satu bernilai lebih RM200,000 melalui peruntukan kerajaan negeri.