Sorting by

×

‘Kami mahu identiti asal Bukit Melaka’ – orang ramai

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDAR HILIR 5 Mac – “Apa guna mengenang tinggalan sejarah penjajah, lebih baik agungkan sejarah kita sendiri,” kata Fahmi Affendy Zulhemi, 27 tahun.

Menurutnya, jika nama Bukit St Paul terus dikekalkan di situ ia akan terus menampilkan kegemilangan penjajahan Portugis dan Belanda ke atas Melaka satu ketika dahulu.

FAHMI Affendy

“Pelancong datang melawat tempat-tempat sejarah di sini untuk melihat tinggalan Kesultanan Melayu Melaka bukan untuk mengkagumi bangunan lama penjajah.

“Lagi pun, tidak keterlaluan rasanya kalau hanya menukar kepada asal nama Bukit Melaka, bukannya dimusnahkan bangunan gereja St Paul ini,” katanya.

Beliau menyambut baik usaha kerajaan negeri dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menukar kepada asal nama Bukit Melaka di situ demi mengembalikan identiti sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

“Sebagai rakyat yang cinta dan taat pada negara, saya setuju dan menyokong usaha ini, siapa lagi yang berhak mempertahan kedaulatan negara kalau bukan kita warga Malaysia sendiri,” ujarnya.

Selain itu kata Ambrose Anak Ally, 20, banyak elemen sejarah lain yang boleh dikenang dan dijadikan pengajaran daripada membiarkan tinggalan penjajah terus kekal diagungkan di tanah air sendiri.

AMBROSE

“Di laman sosial sudah banyak perkara ini dibahaskan dan para pengkaji sejarah juga sudah mengemukakan banyak bukti bahawa tempat asal St Paul Hill ini adalah istana Kesultanan Melayu Melaka.

“Portugis dan Belanda telah musnahkan bukti sejarah ini dan mahu kita melupakan terus sejarah tersebut dengan mengantikan sejarah penjajahan mereka,” ujarnya.

Manakala Valetino Pora, 19, berkata, dia yakin seluruh rakyat negara ini menyambut baik dan menyokong usaha mengembalikan nama asal Bukit Melaka di situ.

VALETINO

“Mereka yang menolak usaha ini sepatutnya belajar terlebih dahulu asal usul sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

“Saya juga tidak faham mengapa mereka bising-bising hanya kerana mahu menukar nama bukan dimusnah satu bangunan St Paul ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1658
Kongsi :
Previous post Liga-M: Lima aksi minggu pertama ditunda – MFL
Next post Hari Badminton Sedunia disambut 5 Julai
Ubah saiz-+=