Sektor pertanian akan diperkasakan – KM
SERI NEGERI 3 Mac – Kerajaan menyambut baik cadangan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam agar sektor pertanian diperkasakan pasca penularan pandemik COVID-1.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, susulan itu tanah terbiar di negeri ini akan dibangunkan sekali gus memberikan pulangan kepada Melaka.
Katanya, orang muda perlu mengambil peluang dan menceburkan diri dalam bidang pertanian yang menyumbang 13 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
“Kita minta Jabatan Pertanian negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk sama-sama bantu memberi bimbingan dalam sektor ini.
“Ia sekali gus membuka peluang anak muda yang berminat ini ke arah bidang keusahawanan.
“Malah usaha ini mampu membuka sebuah lokasi baharu sebagai pusat pengumpulan hasil setempat bagi menjual hasil pertanian yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di Seri Negeri, hari ini.
Terdahulu, Mohd Ali dalam ucapan pembukaan Perasmian Persidangan DUN Isnin lalu menyarankan kerajaan negeri memberi fokus kepada pembangunan pertanian bagi meningkatkan semula KDNK Melaka selepas dihimpit wabak pandemik COVID-19.
Tun Mohd Ali berkata, KDNK Melaka pada 2020 menguncup sebanyak 5.9 peratus berikutan wabak berkenaan namun sektor pertanian menunjukkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus dalam tempoh sama.
“Justeru saya mencadangkan supaya kerajaan negeri menjalankan kajian mengenai potensi Melaka menjadi hub indsustri pertanian berteknologi tinggi untuk membekalkan sumber makanan bagi membolehkan pengurangan import makanan ke Melaka dan Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.