PRN Johor: PN kemuka ikrar demi bangsa Johor

Masa Membaca:3 Minit, 6 Saat

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Perikatan Nasional (PN) merangka tawaran inklusif dan menyeluruh kepada rakyat Johor menerusi ikrar “Demi Bangsa Johor” berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

Lapan tunjang utama itu meliputi kepimpinan berintegriti dan bebas rasuah; keutuhan ekonomi; keutamaan menangani kos sara hidup; keprihatinan kepada rakyat; kesejahteraan sosial; kecekapan infrastruktur; merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ikrar “Demi Bangsa Johor” itu bukan retorik semata-mata, tetapi suatu komitmen realistik dan praktikal dalam membentuk kerajaan negeri yang bersih, cekap dan prihatin rakyat.

Beliau berkata PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendukung pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa antaranya menerusi kecekapan penyampaian perkhidmatan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

“Ini merangkumi usaha-usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika pelancaran ikrar berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Muhyiddin berkata bagi mengoptimum sektor ekonomi, Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 akan disediakan bagi memperkasa masa depan ekonomi negeri itu dengan mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat dan menumpukan kepada industri strategik serta berimpak tinggi termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar.

“Usaha juga akan dipergiat untuk memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa. Pembangunan mampan ekonomi Johor juga akan disokong melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” tambahnya.

Bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat di Johor, PN menawarkan skim air percuma 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah, memperluas Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir termasuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, bantuan khas kepada penjaja akan disediakan dalam bentuk penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan milik PBT untuk tempoh lima tahun bagi membantu golongan penjaja terkesan pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata PN turut menggesa kerajaan Persekutuan supaya segera membuka sempadan negara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Di bawah tunjang keprihatinan kepada rakyat, bekas Perdana Menteri itu berkata Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda.

Menurutnya bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga bakal disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian selain akan memastikan projek perumahan generasi baharu Felda yang sedang dibaik pulih disiapkan segera manakala projek terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih, diselamatkan.

“Bagi menjamin kesejahteraan sosial, PN akan memastikan pendidikan berkualiti disediakan untuk memperhebat generasi pewaris Johor dengan tumpuan kepada penyediaan fasiliti dan teknologi digital serta meningkatkan akses pendidikan kepada semua rakyat, khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan kesihatan akan dipertingkatkan melalui pembinaan infrastruktur dan penyediaan Skim Takaful Prihatin Johor dan Kad Prihatin Johor kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Muhyiddin berkata PN juga berikrar meningkatkan kecekapan infrastruktur serta mempercepat liputan internet 5G, merancakkan sektor pelancongan dan mendepani cabaran perubahan iklim dengan fokus bakal diberikan untuk menyegera pelaksanaan projek tebatan banjir serta pelan induk kesiapsiagaan dalam mendepani bencana alam.

Beliau berkata bagi memastikan tawaran ikrar PN itu dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan dianggotai anak jati Johor daripada golongan profesional dan berpengalaman akan ditubuhkan.

“Ini untuk memastikan ikrar yang dilafazkan untuk rakyat di negeri Johor ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus,” katanya menambah PN menawarkan gabungan 56 calon berwibawa untuk mengemudi kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

721
Kongsi :
Previous post 10 balai polis, 11 pos kawalan PGA rosak dilanda banjir
Next post MiCoST tinjau peluang kolaborasi bersama Todak Academy
Ubah saiz-+=