Sorting by

×

Johor tarik pelabur melalui Minggu Johor di Dubai

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Kerajaan Negeri Johor menampilkan Minggu Johor di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai bagi menunjukkan kesungguhan untuk membuka pintu pelaburan kepada pasaran dunia.

Bertemakan Permata Selatan Malaysia (The Southern Jewel of Malaysia), Minggu Johor itu diadakan sempena minggu ke-22 di ekspo tersebut yang bermula pada 27 Februari sehingga 5 Mac 2022.

Kehadiran Johor di ekspo dunia itu merupakan usaha berterusan dalam mencari pelabur antarabangsa, membuka pintu kepada pasaran dunia, menawarkan insentif mesra pelabur selaras dengan dasar kerajaan Malaysia yang mantap dan mesra perniagaan.

Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir berkata Johor merupakan destinasi pelaburan ideal dengan potensi pertumbuhan dan pembangunan pesat serta ekosistem ekonomi mampan yang memberi manfaat kepada pelabur yang ingin bertapak dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

“Negeri Johor terletak di satu kedudukan yang amat strategik iaitu di tengah-tengah rantau ASEAN serta laluan perkapalan antarabangsa utama paling sibuk di dunia, selain akses mudah melalui udara dalam masa enam jam penerbangan dari bandar-bandar utama ASEAN melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan tiga pelabuhan antarabangsa dan pelbagai lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu Johor mempamerkan amalan terbaik dan perniagaan teras negeri serta industri baru muncul yang kebanyakannya berpusat di wilayah Iskandar Malaysia.

Antara yang menarik semasa pembukaan Minggu Johor itu adalah pengumuman tiga kerjasama strategik dengan nilai pelaburan lebih RM100 juta.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

974
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Polis buka tujuh kertas siasatan semalam
Next post 33 lokasi pelancongan tawar diskaun buat anak Melaka
Ubah saiz-+=