Sorting by

×

Sistem penyampaian kerajaan akan lebih ‘berpaksikan rakyat’ – PM

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kerajaan akan memberi fokus untuk memberi ‘wajah baharu’ kepada penjawat awam dan juga landskap baharu dalam organisasi awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berkata pembaharuan itu bertujuan untuk menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat people-centric atau berpaksikan rakyat dan memudah cara urusan rakyat serta tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi.

“Menyedari masih berlakunya kelemahan, kerajaan komited untuk membuat penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan sistem ini,” katanya ketika sesi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kenapa masih berlakunya kelemahan dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan dan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk mengatasinya.

Ismail Sabri berkata antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan kerajaan adalah kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dengan mengurangkan karenah birokrasi.

“Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021.

“Buat pertama kali, kerajaan menyediakan tiga kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, sama ada melalui penyerahan tunai di pusat pemindahan sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran dalam talian,” katanya.

Katanya lagi, langkah yang diambil berkenaan dipacu oleh perkhidmatan awam yang cekap dan organisasi yang dinamik serta bersifat memudahkan.

Kerajaan tegasnya akan memastikan supaya organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi.

“Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang. Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah menggariskan agar sistem penyampaian perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan memastikan perkhidmatan awam sentiasa mengadaptasi semangat ‘Keluarga Malaysia – Keluarga Perkhidmatan Awam’ dengan setiap kementerian dan agensi akan saling bantu membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan akui masih ada lagi ruang penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang boleh dilaksanakan. Kita sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan penambahbaikan, kritikan yang membina dan profesional sepertimana komitmen kerajaan dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik,” katanya.

Menjawab soalan Tajuddin mengenai dasar bekerja dari rumah, Ismail Sabri berkata kerajaan ketika ini masih lagi melaksanakan dasar itu yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Beliau berkata bagaimanapun produktiviti bekerja di pejabat didapati lebih baik dan terdapat sektor kritikal seperti jabatan kesihatan dan perkhidmatan yang mesti dilakukan di pejabat.

Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai aduan perkhimatan talian kerajaan di Putrajaya yang didakwa sukar dicapai dan panggilan tidak dijawab Ismail Sabri berkata: “Ia akan diambil serius dan saya akan memastikan perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post Kerajaan tidak melindungi sesiapa terlibat isu rasuah – Ismail Sabri
Next post Projek mitigasi banjir siap September depan
Ubah saiz-+=