Sorting by

×

Bahagian hadapan bot pecah punca bot karam – Maritim Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ALOR SETAR, 27 Feb – Bahagian hadapan bot yang pecah dikenal pasti menjadi punca bot membawa empat kru dan 14 pemancing karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata bahagian hadapan bot itu pecah akibat ombak kuat.

“Bot berkenaan bocor dan menyebabkan ia karam dalam tempoh 45 minit kemudian. Sementara menunggu bantuan tiba, kesemua mangsa yang memakai jaket keselematan telah membentuk kumpulan di dalam air sambil memegang tangan antara satu sama lain.

“Sebuah bot nelayan tempatan yang melalui lokasi kejadian telah berjaya menyelamatkan kesemua mangsa sebelum dipindahkan ke bot penyelamat Maritim Malaysia pada pukul 11.05 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata kejadian semalam merupakan operasi mencari dan menyelamat yang kedua terhadap bot yang sama setelah pada September tahun lepas, bot itu dilaporkan hampir karam bersama 17 kru dan pemancing.

“Maritim Malaysia ingin mengingatkan pelancong yang ingin menyewa bot bagi tujuan rekreasi atau menangkap ikan supaya sentiasa memeriksa tahap keselamatan dan memastikan pemilik bot memiliki lesen yang sah sebelum turun ke laut.

“Aspek keselamatan perlu diutamakan bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Semak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut, memakai jaket keselamatan, membawa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi dan memaklumkan keberadaan kepada ahli keluarga,” katanya.

Semalam, kesemua empat kru dan 14 pemancing warga tempatan yang berumur antara 26 hingga 55 tahun itu berjaya diselamatkan bot nelayan tempatan pada pukul 7.30 malam setelah bot yang dinaiki mereka karam pada pukul 2.15 petang di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi.

Dua daripada mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kaki telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk mendapatkan rawatan sebaik tiba di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut pada pukul 11.45 malam.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1100
Kongsi :
Previous post Drag Race, litar geng anak muda berlumba
Next post Bomba pantau dari udara kesan penduduk terperangkap banjir di Hulu Terengganu
Ubah saiz-+=