JDT julang Piala Sumbangsih kali kelima berturut-turut

Masa Membaca:2 Minit, 57 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mengatasi Kuala Lumpur City (KL) City FC untuk menjulang Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut selepas mencatat kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, malam tadi

Jaringan pemain tengah Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan penyerang import baharu Fernando Forestieri masing-masing meletakkan JDT mendahului pada separuh masa pertama sebelum pemain gantian Mohd Afiq Fazail melengkapkan malam gemilang pasukan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Kejayaan di laman sendiri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh dalam tempoh lapan musim sejak mula mendominasi saingan itu pada 2018.

JDT juga memahat sejarah tersendiri malam ini apabila muncul satu-satunya pasukan merekodkan pencapaian memenangi Piala Sumbangsih lima kali berturut-turut selepas mencipta hatrik pada edisi 2020 diikuti kejayaan musim 2021.

Bermain di hadapan penyokong sendiri di gelanggang keramat mereka, skuad bimbingan Benjamin Mora yang tewas kepada KL City FC di pentas final Piala Malaysia 2021 Disember lepas, memulakan aksi dengan garang apabila berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya pada 10 minit pertama.

Dua percubaan berbahaya JDT hadir menerusi pemain import Leandro Velazquez dan Forestieri, namun rembatan dari luar masing-masing pada minit ketujuh dan kesembilan itu sedikit tersasar daripada pintu gol KL City FC yang dikawal pemain kebangsaan Filipina Kevin Ray Mendoza.

Selepas usaha memburu gol awal JDT menerusi hantaran-hantaran ke dalam kotak penalti dan rembatan dari luar kotak penalti gagal mendatangkan hasil, jaringan yang ditunggu-tunggu hadir pada minit ke-26 sekali gus menceriakan puluhan ribu penonton tuan rumah.

Gol terhasil apabila Muhamad Nazmi bijak menyelinap melepasi pertahanan lawan untuk membuat tandukan kemas, namun pujian harus diberikan kepada pemain sayap muda Arif Aiman Mohd Hanapi yang berjaya menggelecek Declan Lambert sebelum membuat hantaran cantik menggunakan kaki kiri.

Lima minit berselang giliran Forestieri merobek gawang KL City FC dengan melepaskan rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti sekali gus menyaksikan bekas penyerang Udinese dan Watford berusia 32 tahun itu memperkenalkan dirinya kepada penyokong JDT dengan bergaya.

Ketinggalan 0-2, barisan pemain skuad kendalian Bojan Hodak mula hilang arah, namun masih gagal mencipta percubaan berbahaya dalam usaha mengejar kedudukan apabila setiap gerakan berjaya dipatahkan pasukan tuan rumah untuk kekal mendahului pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, KL City FC tampil lebih segar dengan berjaya melakukan percubaan tepat ke arah gawang lawan, namun tandukan pemain import baharu Kevin Koubemba pada minit ke-46 itu berjaya diselamatkan penjaga gol JDT yang juga kapten pasukan Mohd Farizal Marlias.

Enggan menyerah kalah, Hodak melakukan beberapa pertukaran antaranya membawa masuk penyerang Muhammad Hadin Azman dalam usaha memperbaiki mutu serangan pasukan yang tumpul tetapi percaturan itu gagal merampas penguasaan bola daripada JDT.

Di penghujung perlawanan, Ketua Pasukan KL City FC Paulo Josue terlepas peluang keemasan merapatkan kedudukan selepas tandukan lemahnya pada minit ke-84 berpunca dari sepakan percuma berjaya ditepis Mohd Farizal.

Justeru, JDT mengambil kesempatan untuk melakukan serangan balas yang menyaksikan Mohd Afiq menjadikan kedudukan 3-0 selepas melepaskan sepakan voli dari luar kotak penalti sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan.

Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, Mora memuji gaya permainan tenang dan berdisiplin anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan yang membuahkan kejayaan bermakna di awal musim.

“Mereka tahu apa yang perlu dilakukan, semangat juang, mentaliti kemenangan, mengatasi cabaran, menguasai bola. Kami tahu KL akan bertahan, kami sudah menganalisis … mereka hanya menunggu JDT melakukan kesilapan.

Sementara, Hodak berkata KL City memulakan perlawanan dalam keadaan kurang lancar dan anak buahnya bergelut dengan tekanan yang diberikan JDT. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1425
Kongsi :
Previous post ADUN Duyong positif COVID-19
Next post Gempa bumi: Angka kematian meningkat 8 orang, 6 masih hilang
Ubah saiz-+=