Salahuddin dicabar BN, Pejuang, PN di Simpang Jeram
MUAR, 26 Feb (Bernama) — Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berdepan persaingan empat penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Pakatan Harapan yang juga Ahli Parlimen Pulai itu ditentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Md Don, Mahaizal Mahmor (Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)) dan Zarul@Mohamad Zahrul Salleh (Perikatan Nasional).
Senarai calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Simpang Jeram Mohd Nurulamin Abd Rahman di pusat penamaan calon di Dewan Ibnu Battuta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Haji Mohd Yassin, di sini pada 10.22 pagi.
Terdahulu, proses penamaan calon berlangsung dengan tenang dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka bagi mengekang penularan COVID-19.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Salahuddin yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menang dengan majoriti 7,687 undi menewaskan Mohd Radzi Amin daripada BN dalam persaingan empat penjuru.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikemas kini hingga 21 Jan lepas, DUN Simpang Jeram mempunyai seramai 40,014 pengundi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.