Tiga pusat internet desa di Johor dinaik taraf kepada PEDi
JOHOR BAHRU 26 Feb – Sejumlah tiga Pusat Internet Desa (PID) di Johor sedang dinaik taraf kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan 11 PEDi baharu akan dibina tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata tiga PID yang sedang dinaik taraf terletak di Kampung Pagoh, Pagoh, Pulau Penarek di Ledang dan Felda Linggiu di Tenggara, dan dijangka siap hujung suku pertama tahun ini.
“Sekarang sudah ada 87 PEDi yang sedang beroperasi, tiga sedang dibina dan 11 dalam perancangan untuk ditambah yang akan menjadikan jumlah keseluruhan PEDi di Johor sebanyak 101 menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat PEDi Zon Selatan di Kampung Sungai Tiram, semalam.
Lokasi perancangan PEDi tambahan melibatkan Tangkak, Bentayan, Simpang Jeram, Senggarang, Yong Peng, Mengkibol, Parit Yaani, Larkin, Stulang, Skudai dan Senai.
Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan setiap pusat itu mempunyai panel penasihat tersendiri dianggotai wakil komuniti setempat, untuk memberi saranan atau cadangan yang bersesuaian.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kewujudan PEDi dapat melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing, bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.