MUFC julang piala TYT
AYER KEROH 26 Feb – Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) menjulang piala TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka 2022 selepas menundukkan Selangor 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 3-3 bagi 90 minit masa penuh perlawanan di Stadium Hang Jebat malam tadi.
Aksa persahabatan itu menyaksikan MUFC bermula garang dengan menjaringkan gol pertama seawal minit ke-17 selepas pertahanan, Mohd Fadhli Shas menanduk masuk sepakan penjuru Sony Norde.
Namun kegembiraan skuad Hang Tuah tidak kekal lama selepas Selangor menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang import Brazil Herlison Caion, seminit kemudian.
Anak buah Risto Vidakovic terus tertekan selepas Selangor menjaringkan gol kedua untuk mengikat kedudukan 2-1 pada minit ke-22.
Sony Norde yang kembali menyarung jersi MUFC melegakan rakan sepasukan apabila menyamakan kedudukan 2-2 dan kekal hingga ke tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua pula menyaksikan pemain MUFC terpaksa bekerja keras selepas Selangor kembali di depan hasil jaringan Caion pada minit ke-78.
Kesungguhan dan semangat pemain MUFC berhasil selepas berjaya mengikat Selangor 3-3 apabila Syahrul Azwari berjaya menjaringkan gol pada minit ke-83.
Sepakan penalti berpihak kepada MUFC selepas Bryan See menyelamatkan sepakan penalti Syahir Bashah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.