Ismail Sabri diberi sambutan rasmi di Peace Palace
PHNOM PENH 24 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini diberikan sambutan rasmi di Peace Palace, yang juga merupakan pejabat Rasmi Perdana Menteri Kemboja, sempena lawatannya ke negara itu atas jemputan rakan sejawat, Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen.
Sejurus tiba lagu kebangsaan Malaysia “Negaraku” dan Kemboja “Nokor Reach” dimainkan, sebelum Ismail Sabri diiringi Hun Sen memeriksa barisan kawalan kehormat.
Terdahulu Ismail Sabri melawat tugu peringatan kemerdekaan Kemboja dan meletakkan kalungan bunga, diikuti satu lagi upacara meletak kalungan bunga di Monumen Preah Borom Ratanak Kaudh yang didirikan untuk memperingati mendiang Raja Norodom Sihanouk di kawasan sama.
Kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan hubungan dua hala, isu serantau serta kerjasama di peringkat antarabangsa, dan Ismail Sabri juga dijadualkan menghadiri majlis mengadap Raja Kemboja, Baginda Norodom Sihamoni, di Istana Negara sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.
Kemboja yang merupakan tuan rumah bagi ASEAN 2022, adalah negara keempat dilawati Perdana Menteri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos lepas.
Ismail Sabri sebelum ini telah melawat Indonesia, Singapura dan Brunei.
Hubungan dua hala Putrajaya dan Phnom Penh terjalin sejak 65 tahun lepas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.