Bukit Gapis Gunung Melaka simpan sejarah tersendiri

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

ASAHAN 22 Feb – Keunikan Bukit Gapis yang terletak antara dua titik sempadan Melaka dan Negeri Sembilan menyimpan pelbagai sejarah sejak zaman sebelum kemerdekaan negara.

Sebalik kehijauan dan misteri ‘Gunung Melaka’ ini sebenarnya menyimpan pelbagai sejarah penduduk sekitar Asahan dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mantai, Abdul Halim Majid berkata nama Bukit Gapis dipercayai diambil sempena pokok Gapis yang banyak di kawasan itu.

Beliau berkata, ketika perkampungan itu mula dibuka, pokok gapis menjadi sumber utama penduduk bagi membangunkan pondok, kandang ternakan dan pelbagai lagi kemudahan.

Katanya, sifat kayu gapis yang tahan lama dan lasak menyebabkan ia menjadi pilihan utama penduduk khusus bagi aktiviti pembinaan.

“Kawasan bentuk muka bumi di kampung ini dikelilingi kehijauan alam dan jauh daripada kawasan pantai membuatkan sumber makanan juga diambil daripada kawasan bukit gapis.

“Bukit Gapis juga merupakan satu-satunya lokasi tanah tinggi di Melaka mempunyai jeram yang menjadi habitat pelbagai jenis hidupan.

“Jeram dinamakan Jeram Tok Janggut merupakan kawasan utama penduduk untuk menangkap hasil sungai seperti ikan dan udang suatu ketika dahulu,” katanya.

PEMINAT sukan lasak menggunakan tali untuk mendaki kepuncak Bukit Gapis.

Dalam pada itu, kawasan bukit itu telah diiktiraf sebagai kawasan tertinggi di Melaka pada tahun 2020 selepas ia diangkat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan ketika itu iaitu Allahyarham Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.

“Allahyarham telah mengetengahkannya kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam ketika itu.

“Akhirnya kawasan ini diangkat sebagai lokasi puncak tertinggi di Melaka,” katanya.

Abdul Halim berkata, kawasan itu kini diangkat dan dinamakan Bukit Gapis Gunung Melaka (BGGM) akan dijadikan lokasi peminat sukan ekstrim dan kawasan rekreasi tidak lama lagi.

“Mugkin sudah lama mutiara ini terbenam, kita tak nampak pun potensinya sebelum ini, kebelakangan ini ada kesedaran dan kita sudah rangkakan perancangan.

“InsyAllah mutiara itu akan kita gilap yang betul-betul menarik dan tarik perlancong dari Singapura dan Johor sekali gus menjadikan ia antara kawasan tarikan pelancongan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4642
Kongsi :
Previous post 44 rumah di DUN Paya Rumput rosak akibat ribut
Next post Hishammuddin Hussein positif COVID-19
Ubah saiz-+=