Ribut: Nyaris dihempap runtuhan bumbung rumah
DURIAN TUNGGAL 22 Feb – “Mujurlah saya berhenti sekejap kalau terus buka pintu dan masuk pasti dihempap runtuhan bumbung,” itu kata Muhammad Radzi Yaakop, 31, mangsa ribut di Kampung Belimbing Dalam, di sini.
Dalam kejadian lewat petang tadi, hampir 30 buah kediaman di kampung itu terjejas apabila sebahagian bumbung tercabut, selain terdapat struktur rumah penduduk yang rosak.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang, dia keluar untuk mengangkat jemuran di ampaian dan ketika itu cuaca sudah hujan lebat disusuli ribut.
“Cuaca ketika itu hujan lebat luar biasa malah tengok keadaan itu juga seram kerana amat kuat sebelum ‘awning’ luar rumah tiba-tiba diterbangkan angin.
“Kejadian berlaku begitu pantas sebelum sebahagian bumbung dapur dan bilik belakang turut roboh” katanya.
Katanya, walaupun kediamannya agak teruk terjejas namun dia bersyukur kerana ahli keluarganya terselamat termasuk dirinya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Rahmat Alus, 51, berkata, kejadian lewat petang itu amat mencemaskan dia dan keluarga sehingga ahli keluarganya berpelukan kerana ketakutan.
Katanya, akibat ribut juga bumbung kediamannya turut diterbangkan angin kira-kira 50 meter ke rumah jiran.
“Dalam keadaan panik dan cemas saya hanya mampu laungkan azan untuk menenangkan ahli keluarga termasuk emak dan anak saudara.
“Dengan keadaan dalam rumah yang dipenuhi air hujan selepas bumbung tercabut kami berlindung di ruang luar rumah sehinggalah hujan berhenti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.