Polis temukan lebih empat kesan tikaman
AYER KEROH 20 Feb – Polis menemukan lebih daripada empat kesan tikaman ke atas badan mayat wanita yang dipercayai dibunuh teman lelakinya dalam sebuah rumah di Jalan Pegaga, Taman Merdeka, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan itu bagaimanapun masih dilakukan.
Katanya, turut disiasat penemuan botol minyak tanah yang ditemukan berhampiran mayat lelaki yang dipercayai teman lelaki mangsa.
“Siasatan terhadap mayat wanita terbabit menemukan lebih empat kesan tikaman, namun positifnya terdapat empat masing-masing dua di dada dan bawah perut selain dipercayai ada juga di bahagian belakang badan.
“Selain itu, siasatan berhubung penemuan botol minyak tanah itu juga sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini siasatan polis tidak menemukan sebarang pembabitan individu lain dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut masih diteruskan selain proses bedah siasat juga masih berjalan.
“Kita juga sedang menunggu hasil atau disebabkan apa lelaki itu ditemui dalam keadaan mulutnya berbuih,” katanya.
Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dipercayai menikam teman wanitanya sebelum membunuh diri dalam sebuah rumah di Jalan Pegaga, Taman Merdeka, di sini, semalam.
Mayat wanita berkenaan ditemui berlumuran darah dengan kesan tusukan objek tajam manakala lelaki terbabit ditemukan mati dalam keadaan mulut berbuih di atas katil dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menikam wanita berkenaan terlebih dahulu berikutan penemuan senjata yang digunakan berhampiran mayat wanita tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.