Sorting by

×

Anak kambing serow Zoo Melaka diberi nama Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 22 Ogos – Anak kambing gurun dari spesies Sumatran Serow atau Capricoris Sumatraensis yang lahir di Zoo Melaka pada 8 Jun lalu telah diberi nama Tuah.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Shadan Othman berkata, nama tersebut dipilih melalui pertandingan menamakan anak kambing jantan tersebut yang dianjurkan Zoo Melaka.

Ujarnya, peserta dari Muar, Johor, Izzatul Syazwani Zaha telah dipilih sebagai pemenang selepas memberikan nama tersebut berserta sebab yang kreatif daripada pemilihan nama itu.

“Sebenarnya, ada ramai peserta yang memberikan nama Tuah. Tetapi pemenang yang dipilih ini memberikan sebab yang paling kreatif di atas pemilihan nama tersebut.

“Daripada penyertaannya, dia menyatakan nama Tuah dipilih agar Negeri Melaka dan Zoo Melaka bertuah daripada kehadiran anak kambing ini.

“Untuk makluman semua anak kambing ini merupakan satu-satunya yang lahir di Malaysia hasil kelahiran pertama baka induk yang sudah 15 tahun berada di Zoo Melaka,” katanya.

Hasil kemenangan itu, pemenang telah menerima hadiah berupa 10 tiket masuk ke Zoo Melaka.

Menurut Shadan, sejak pertandingan menamakan anak kambing itu dibuka 1 hingga 30 Julai lalu, pihaknya telah menerima sebanyak 219 penyertaan.

Ujarnya, selepas ini pihak Zoo Melaka juga akan menganjurkan pertandingan mencipta logo Zoo Melaka dan Taman Burung yang akan dibuka mulai 1 hingga 30 Oktober depan.

Views:

720
Kongsi :
Previous post Konvoi Semarak Merdeka Melaka 2020 ‘masuk kampung’
Next post Kertas kerja UniMel dibentang hujung Ogos ini
Ubah saiz-+=