‘Biasa habis RM100 beli barang dapur, tapi di sini tak sampai RM50’

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

DURIAN TUNGGAL 19 Feb – “Memang berbaloi lah datang, belanja pun jimat berbanding pergi ke pasar luar kerana semuanya murah,” itu kata Noor Ain Mahat, 37, pengunjung Jualan Keluarga Malaysia di tapak pasar malam Durian Tunggal, di sini.

Menurut suri rumah itu, kebiasaanya dia akan membelanjakan RM100 atau lebih setiap kali ke pasar untuk membeli bekalan seperti sayur dan ikan namun situasi itu berlainan apabila dia berkunjung ke Jualan Keluarga Malaysia.

Noor Ain Mahat, 37

“Ini pertama kali saya datang ke program ini, ternyata harga memang murah. Kebiasaan kalau saya beli banyak seperti ini mahu lebih RM50 atau sampai RM100 namun hari ini RM50 tidak sampai.

“Jualan ini betul-betul membantu rakyat kerana kita tahu sekarang ramai yang terkesan jadi usaha kerajaan ini amat berbaloi sekaligus dapat meringankan beban,” katanya.

Bagi seorang lagi pengunjung Norliza Mohd Isa,38, berkata, pengalaman pertama kali berkunjung ke jualan itu membuatkannya teruja kerana harga yang ditawarkan rendah berbanding lokasi jualan lain.

“Di sini semuanya ada ikan, sayur, beras dan paling penting minyak masak pun ada dijual di sini, walaupun ianya hanya limit dua paket setiap seorang.

“Bagi saya kalau boleh jualan seperti ini diadakan secara berterusan di kawasan kampung kerana boleh membantu penduduk setempat untuk berbelanja malah tidak perlu bergerak jauh untuk dapatkan bekalan,” katanya.

Norliza Mohd Isa,38

Hadir sama pada program itu EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Norena Jaafar serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil.

Sementara itu, Zahari berkata, pihaknya menyambut baik program yang diadakan ini kerana bukan sahaja dapat meringankan beban rakyat setempat malah memudahkan mereka untuk mendapatkan bekalan barangan dapur terutamanya.

“Saya berterima kasih kepada EXCO dan pihak KPDNHEP kerana memilih lokasi Durian Tunggal sebagai tapak jualan untuk Program Jualan Keluarga Malaysia kali ini dan diharap penduduk dapat rebut peluang ini kerana ia pertama kali diadakan.

“Daripada yang dapat saya lihat pagi ini, program ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila sewal 7.30 pagi orang ramai sudah mula beratur untuk mendapatkan barangan jualan dan esok dijangka lagi meriah apabila bekalan ayam serta telur akan dijual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2507
Kongsi :
Previous post Tahanan positif COVID-19 meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi – Bukit Aman
Next post Lebih 10 peratus populasi kanak-kanak terima dos pertama vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=