PRN Johor: SPR perlu lanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos – Saifuddin Nasution
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pengundi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan individu berada di luar negara yang layak mengundi diberikan hak tersebut.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tempoh sembilan hari yang diberikan SPR adalah amat singkat dan masih ramai pengundi yang belum berdaftar sebagai pengundi pos.
“Saya mengikuti beberapa laporan berita yang berkata ramai pengundi Johor yang berada di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar sebagai pengundi pos.
“Berdasarkan satu laporan media, dianggarkan cuma satu peratus dari jumlah pengundi Johor di Singapura telah mendaftar setakat dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta SPR untuk lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial.
SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.
Permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka dari 9 hingga 18 Feb. Permohonan boleh dilaksanakan secara dalam talian. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.