Sorting by

×

Termakan baja tumbuhan disyaki punca kematian gajah betina

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

ALOR SETAR, 16 Feb – Gajah betina dianggarkan seberat dua tan yang ditemukan mati di tepi Jalan Empangan Pedu berdekatan Kampung Pinang, Pedu di Padang Terap semalam disyaki termakan baja tumbuhan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah Jamalul Nasir Ibrahim berkata ia berdasarkan pandangan fizikal pihaknya yang mendapati najis gajah itu berdarah.

“Namun, untuk kita tahu punca sebenar gajah ini mati sebab apa, perlu tunggu keputusan penuh daripada pasukan forensik ibu pejabat Jabatan Perhilitan. Sampel gajah ini telah diambil untuk siasatan lanjut dan dibawa ke makmal di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jamalul Nasir berkata pengamatan pihaknya di sekitar kawasan itu mendapati terdapat stor penyimpanan baja tidak teratur dan berisiko terdedah kepada haiwan yang berkeliaran di situ.

“Jadi, saya berharap petani dan penduduk di kawasan sekitar itu dapat memastikan stor penyimpanan baja sentiasa dalam keadaan teratur dan selamat supaya tidak memudaratkan haiwan,” katanya.

Beliau berkata bangkai gajah itu telah ditanam di satu lokasi berdekatan haiwan itu ditemukan mati kira-kira 8.30 malam tadi.

Semalam, media melaporkan gajah itu ditemukan mati oleh penduduk yang keluar menoreh getah sebelum menghubungi Jabatan Perhilitan kira-kira 8.30 pagi untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post BN bersifat ‘malar segar’, faham aspirasi golongan muda – Ahmad Zahid
Next post Pemandu treler bawa muatan kayu secara berbahaya dikompaun
Ubah saiz-+=