Terkejut, tapi reda diuji barah ovari
LENDU 15 Feb – Diuji ketika menghampiri usia emas Maimun Said, 61, reda selepas dia disahkan menghidap barah ovari selepas menjalani pemeriksaan kesihatan pada Dis lalu.
Ibu kepada empat anak berusia antara 25 hingga 37 tahun itu tenang ketika menerima perkhabaran itu dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah.
Berkongsi kisahnya Maimun berkata beberapa bulan sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di berasa tidak selesa dan sakit berpanjangan namun tidak dihiraukan.
“Berasa ada yang tidak kena saya ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, doktor memaklumkan saya menghidap barah ovari dan bakal menjalani pelbagai ujian serta rawatan kemoterapi.
“Sejak itu saya tidak boleh berdiri lama, nak melangkah jarak lebih lima meter juga tidak berdaya, untuk memudahkan pergerakan saya terpaksa memohon bantuan kerusi roda,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Tanjung, di sini, hari ini.
Terdahulu Maimun, menerima sumbangan kerusi roda disampaikan Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Melaka, Ibrahim Ali.
Suaminya Abdul Talib Md Hassan, 70, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan PVTLDM Cawangan Melaka membantu anggota keluarganya.
Sementara itu Ibrahim berkata, bantuan disampaikan adalah sebahagian daripada usaha pihaknya dalam menjaga kebajikan ahli PVTLDM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.