Melancong tanpa gelembung pelancongan perlukan penelitian – Nancy
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata penelitian dan persiapan termasuk mengadakan perbincangan bersama kementerian pelancongan negara lain sedang giat dilaksanakan dan ia adalah antara usaha berterusan kementeriannya.
Jelasnya, walaupun kerajaan tidak berhasrat membuka sempadan negara pada 1 Mac seperti yang dicadangkan Majlis Permulihan Negara (MPN), namun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) optimis percapaian Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik dan Antarabangsa Langkawi boleh dijadikan penanda aras bagi sektor itu.
“Berdasarkan pencapaian gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, MOTAC sudah mempunyai keyakinan untuk sempadan negara dibuka.
“Namun, perkara itu perlu diteliti secara lebih mendalam termasuk ada negara yang masih belum membenarkan rakyat mereka melancong dan ia harus diambil kira untuk membuka pelancongan secara meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bicara Negarawan: Pemikiran dan Kepimpinan Tun Hussein Onn di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Nancy berkata secara keseluruhan, dua projek gelembung pelancongan di Pulau Langkawi yang masing-masing bermula 16 Sept (domestik) dan 15 Nov (antarabangsa) tahun lepas itu mencatatkan lebih 720,000 pelancong tempatan dam asing dengan pendapatan pelancongan mencecah RM750 juta sehingga 31 Dis 2021.
Bagi Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi sehingga tempoh 9 Feb lepas, jumlah pelancong antarabangsa yang melancong ke pulau itu menjangkau 4,274 orang tanpa sebarang penularan kes direkodkan.
Pada 8 Feb lepas, MPN mencadangkan sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib, namun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan syor itu tidak dilaksanakan sebaliknya perlu melakukan penelitian terhadap beberapa perkara terlebih dahulu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.