Sorting by

×

Hishammuddin, Vigneswaran berdepan kompaun KKM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

ISKANDAR PUTERI, 13 Feb – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akur sekiranya dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) jika beliau didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 pada Majlis Pelancaran Briged MIC hari ini.

Beliau berkata penganjuran program parti politik seumpama itu sentiasa menjadi kebimbangan berikutan dilihat sukar untuk dikawal.

“Kalau langgar SOP kena bayar kompaun, benda itu menjadi kebimbangan apabila kita buat sesuatu program-program politik susah untuk dikawal. Jadi kalau tidak boleh dikawal dan melanggar SOP, terpaksa berhadapan kompaun,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis itu yang berlangsung di Stadium Educity, di sini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter rasminya memaklumkan beliau telah mengarahkan pegawai KKM untuk mengeluarkan kompaun kepada penganjur majlis berkenaan serta beberapa pemimpin kanan parti politik kerana melanggar SOP COVID-19.

“Bagi diri saya kalau ada kesalahan, hendak ambil tindakan… saya mengalu- alukan… salah tetap salah,” kata Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong dan Menteri Kanan Pertahanan.

Sementara itu, Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran berkata pihaknya turut akur sekiranya dikenakan kompaun dan memaklumkan akan lebih berhati-hati dalam menganjurkan program parti menjelang PRN Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata program berkenaan yang mendapat sambutan hebat, agak sukar dijangkakan jumlah kehadiran.

“Semasa perancangan program ini dibuat, memang kita ikut SOP ditetapkan, tetapi kita juga tidak dapat menjangka akan berlaku pelanggaran. Namun pada masa depan kita akan lebih berhati-hati dan menganjurkan program parti dalam skala lebih kecil,” katanya.

Sementara itu, usaha pengamal media untuk mendapatkan komen daripada Pengerusi MIC Johor R Vidyananthan dan Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad, tidak membuahkan hasil setakat ini.

Program berkenaan yang bermula pada pukul 5.20 petang tadi dan berakhir 7.30 malam ini, dipercayai dihadiri kira-kira 3,000 orang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post Penganjur majlis, pemimpin politik dikompaun langgar SOP
Next post Tiada sekatan Bazar Ramadan berita baik buat peniaga
Ubah saiz-+=