Sorting by

×

Wang, wanita dipercayai jadi taruhan sindiket lumba haram

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

JOHOR BAHRU, 13 Feb – Menawarkan wanita dan sejumlah wang merupakan antara taruhan yang dipercayai sebagai hadiah kemenangan, bagi satu sindiket perlumbaan haram di bandar raya ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sindiket berkenaan dikesan hasil pemantauan pihaknya selama sebulan, sekali gus membawa kepada penahanan 126 individu di Plaza Tol Skudai Arah Selatan, dalam satu operasi pada pukul 2 hingga 4 pagi tadi.

Beliau berkata kesemua warga tempatan itu terdiri daripada 107 lelaki dan 19 wanita, yang berusia antara 18 sehingga 30 tahun.

“Bagaimanapun hasil siasatan semasa kejadian mendapati, hanya enam lelaki berusia 22 hingga 25 tahun terlibat lumba haram, manakala 120 orang pula merupakan penonton.

“Difahamkan juga ada unsur-unsur menggunakan wang dan perempuan (sebagai hadiah kemenangan), kita akan buat siasatan lanjut,” katanya pada sidang media mengenai Operasi Samseng Jalanan, di sini hari ini.

Beliau berkata aktiviti lumba haram itu didapati kerap dilakukan di lokasi berkenaan pada setiap hujung minggu antara pukul 1 hingga 4 pagi.

“Kita mahu beri pengajaran kepada mereka bahawa melakukan lumba haram adalah salah, dan menonton juga adalah salah kerana ia sangat-sangat berbahaya,” kata beliau.

Kamarul Zaman berkata hasil ujian air kencing terhadap kesemua 126 individu itu mendapati, tiga lelaki berusia 22 hingga 45 tahun yang kesemuanya pelumba, positif dadah.

Enam individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 APJ 1987, manakala selebihnya pula yang merupakan penonton dilepaskan atas jaminan polis.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1220
Kongsi :
Previous post UiTM dan UMK meterai MOA program akademik Dwi Ijazah pertama di Malaysia
Next post Bazar Ramadan dibenar operasi tahun ini – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=