Air surut punca Sungai Melaka keruh, kotor
MELAKA 13 Feb – Fenomena air laut surut mengakibatkan air Sungai Melaka bertukar kehijauan dan sedikit kotor berikutan sampah dan daun kering terapung di permukaan apabila hujan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata kejadian itu adalah fenomena biasa yang sering berlaku setiap tahun.
Katanya, apabila hujan segala sisa kotoran yang telah mendap timbul semula termasuk sampah sarap sehinggakan air Sungai Melaka menjadi keruh selain permukaan air dipenuhi sampah sarap.
“Apabila fenomena air surut berlaku, sampah sarap dan daun kering terperangkap di dasar sungai tetapi jika hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai, air akan turun ke bawah.
“Keadaan itu mengakibatkan air Sungai Melaka menjadi keruh malah sampah sarap dan daun kering yang terperangkap pada dasar sungai timbul ke permukaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, Unit Pembersihan PPSPM bagaimanapun sudah diarahkan untuk membersihkan permukaan sungai berkenaan secara berterusan.
Katanya, meskipun kejadian air laut surut sedang berlaku pada masa ini, aktiviti rekreasi di Sungai Melaka masih diteruskan berikutan keadaan paras air Sungai Melaka berada pada tahap terkawal.
“Bot Melaka River Cruise masih beroperasi seperti biasa dan keadaan paras air sungai terkawal,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.