10,000 pelajar UPM dibenar kembali ke kampus dengan SOP ketat bermula 16 Mac
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata selaras dengan ketetapan ini semua gerak kerja dan persediaan bagi menerima ketibaan pelajar untuk pulang ke kampus sedang giat dilaksanakan.
“Bagi mencegah risiko penularan pandemik COVID-19 dalam kampus UPM, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman UPM telah mengambil keputusan bahawa semua proses dan prosedur berkaitan kemasukan dan pendaftaran pelajar hendaklah dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pendaftaran untuk menginap di kolej kediaman bagi pelajar Semester Kedua Sesi 2021/2022 akan mengutamakan langkah keselamatan seperti mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri yang rapi.
Katanya pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin dan telah mendapat dos penggalak dibenarkan kembali ke kampus dan wajib melaksanakan kuarantin tujuh atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.