Penemuan tapak kaki harimau, Perhilitan pastikan tiada ancaman
Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata pihaknya menerima aduan berkaitan perkara itu pada Khamis (10 Feb) dan siasatan menemukan kesan tapak kaki kira-kira satu kilometer (km) dari perkampungan Orang Asli Kampung Ubi di situ.
“Pemantauan di lokasi kejadian serta kawasan sekitar sedang dijalankan oleh kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak. Pemantauan akan diteruskan bagi memastikan harimau itu kembali ke habitatnya dan tiada ancaman kepada penduduk,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Rozidan mengulas mengenai rakaman video tular berdurasi 26 saat yang menunjukkan haiwan pemangsa itu berada di kawasan semak didakwa berlaku di Cameron Highlands.
Ia adalah video kedua berkaitan kelibat harimau belang selepas video pertama berdurasi 17 saat tular pada 5 Feb lepas yang dikatakan berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Bagaimanapun, pada 7 Feb lepas, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak menerusi kenyataan media berkata pemeriksaan oleh Unit Harimau, Perhilitan Perak mendapati lokasi sebenar harimau itu ialah di Ladang Agroto, Perak berhampiran dengan Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.