Sorting by

×

Malaysia sasar tingkatkan jumlah stesen pengecas EV – Adham Baba

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

SHAH ALAM, 11 Feb – Malaysia dijangka mempunyai lebih banyak kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) berikutan kemampuan syarikat tempatan menyediakan perkhidmatan bagi pembangunan kemudahan tersebut pada harga lebih rendah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Dasar Automatif Nasional 2020 sebelum ini menetapkan sasaran pembinaan hampir 5,000 stesen pengecas EV namun ia masih dalam peringkat pembangunan.

Menurutnya, antara usaha ke arah itu membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan, Mobility Werk Group Sdn Bhd (MW Group) menerusi anak syarikatnya, MW EV Sdn Bhd dengan firma United Kingdom, EZ-Charge yang dilihat dapat meningkatkan teknologi tersebut di negara ini.

“Oleh itu, keupayaan syarikat menghasilkan pembuatan EV di peringkat tempatan sepatutnya dapat membolehkan usaha pembinaan kemudahan itu dengan lebih murah dan mudah.

“Kita juga tidak bimbang untuk melakukan perjalanan jauh (menggunakan kenderaan EV) kerana adanya kemudahan stesen mengecas ini di merata tempat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MW EV Sdn Bhd dengan EZ-Charge di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MW Group Zulkifli Kasim berkata kerjasama dengan rakan teknikal EZ-Charge itu juga merupakan antara usaha merealisasikan perkembangan EV dalam industri automotif Malaysia.

Menurutnya, EZ-Charge merupakan sebuah syarikat dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam inovasi penyelesaian elektronik pintar serta mempunyai kredibiliti dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui dari United Kingdom.

Pada masa sama, Zulkifli berkata MW Group akan terus mengenal pasti lebih banyak kerjasama strategik termasuk dengan rakan di Jepun bagi merealisasikan aspek penyetempatan alat ganti dan komponen EV.

“Ini membentuk pelan strategik kami untuk memainkan peranan penting dalam peralihan industri automotif kepada teknologi EV,” katanya.

Beliau berkata kerjasama strategik itu memberi tumpuan kepada penyetempatan pembuatan dan pembangunan bakat bagi membentuk ekosistem rantaian bekalan yang kompetitif bagi pasaran Malaysia dan Asia Oceania.

Menurutnya, menerusi pelan jangka panjang tersebut, pihaknya merancang untuk membina sebuah kilang pintar menjelang 2023 bagi pengeluaran alat ganti, komponen dan pengecas EV yang berdaya saing dari segi kos.

Syarikat MV Group dan anak syarikatnya, MW EV Sdn Bhd; MW Advantech Sdn Bhd; MW Assembler Sdn Bhd dan MW Electronics Sdn Bhd adalah berstatus bumiputera dengan pengalaman luas dalam industri automotif.

Pada 29 Nov, 2021, Crusk Assembler Sdn Bhd yang kini dikenali sebagai MW Assembler Sdn Bhd telah memperoleh 100 peratus ekuiti ke atas syarikat UMW Advantech Sdn Bhd yang sebelum ini diuruskan oleh UMW Corporation Sdn Bhd.

Susulan itu, UMW Advantech Sdn Bhd telah dijenamakan semula kepada MW Advantech Sdn Bhd. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1458
Kongsi :
Previous post 18 kakitangan positif, Baitulmal MAIM tutup operasi 9 hingga 16 Feb
Next post Henti eksport ayam rugikan negara
Ubah saiz-+=