Sorting by

×

Pak Ngah berbangsa Cina, tapi selesa dengan orang Melayu

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

MERLIMAU 10 Feb – “Pergaulan dalam masyarakat tanpa mengira bangsa di samping menguasai bahasa rasmi negara penting untuk memupuk semangat perpaduan biarpun dalam kehidupan norma baharu.”

Itu nasihat Choo Chin Chye, 63 kepada generasi masa kini dalam usaha mengeratkan lagi perpaduan di Malaysia khususnya di negeri Melaka.

Dia yang mesra disapa Pak Ngah oleh penduduk setempat berkata, sedari kecil dia telah dididik oleh mendiang bapanya Choo Kim Yam untuk sentiasa bergaul dengan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Hasil pergaulan itu, menyebabkan dia rapat dengan masyarakat Melayu di kampung danlebih selesa berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, meskipun ketika bersama rakan berbangsa Cina.

Malah keakrabannya dengan masyarakat Melayu di kampung menyebabkan ada rakan-rakan memberikan gelaran nama Mohd Sharif Abdullah kepadanya.

“Saya harap negara terus aman dan rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India bersama memupuk perpaduan kaum.

“Saya turut menggalakkan anak-anak saya untuk bergaul dengan masyarakat lain sama ada dalam aktiviti sukan, program masyarakat dan sebagainya.

“Semoga dengan apa yang terjadi (pandemik COVID-19) pada negara kita, kita ambil dan jadikan sebagai hikmah untuk terus utuh bersama dalam kepelbagaian,” katanya yang berkhidmat sebagai Jaksa Pendamai.

Ujar anak kelahiran Merlimau Pasir itu, dia menjadikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam sebagai idola sejak era menjadi wakil rakyat, Ketua Menteri sehinggalah sekarang.

“Sejak kecil mendiang bapa sentiasa menasihatkan saya untuk bercampur gaul dengan masyarakat, lagipun perbezaan agama bukan alasan untuk kita tidak bersatu hati.

“Kerana itu juga saya menjadikan Tun Mohd Ali sebagai idola kerana perwatakannya mudah mesra dengan masyarakat berbilang bangsa walaupun ramai lagi tokoh negarawan berketurunan Cina,” katanya.

Dia nyata bertuah apabila sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini turut dihadiri Tun Mohd Ali ke kediamannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post Koperasi disaran manfaatkan aplikasi e-dagang – Ab Rauf
Next post Ternak ayam bantu kawal harga
Ubah saiz-+=