Pelajar tahfiz usahakan cili padi bara secara fertigasi
TABOH NANING 10 Feb – Bermula dengan sayuran berdaun seperti kangkung dan sawi pelajar Madrasah Tahfiz Ali-Imran, Kampung Rantau Panjang, di sini, kini mengusahakan penanaman cili padi bara secara fertigasi.
Pengetua Madrasah Tahfiz Ali-Imran, Muhammad Mu’izzuddin Ahmad Amran berkata, aktiviti itu pada asalnya bertujuan untuk mencari dana bagi menampung perbelanjaan mereka yang menyusut berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya bersama tenaga pengajar lain membimbing 13 pelajar mengenai teknik bercucuk tanam, kami amat berpuas hati dengan hasil tuaian, lalu timbul untuk kembangkan lagi dengan mengusahakan cili padi bara.
“Meskipun PKP sudah tamat kami berasa usaha ini perlu diteruskan, jadi madrasah boleh jana pendapatan sendiri, pelajar pun seronok habiskan masa mengeluarkan peluh di kebun setiap petang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu pelajar, Khairi Dafi Shahril, 14, berkata selain sudah menghafaz dua juzuk al-Quran, dia juga menimba ilmu pertanian yang bermanfaat untuk dijadikan bekalan selepas tamat pengajian kelak.
“Agama menyuruh kita berusaha untuk mencapai sesuatu dan bukannya sekadar berharap rezeki datang bergolek,” katanya.
Manakala Muhammad Muzammil Hakimi Mohd Rohaizad, 12, berkata dia gembira menyumbangkan tenaga kepada guru untuk bersama-sama bermandi peluh menanam pelbagai jenis sayur.
“Alhamdulillah, saya dapat merasakan sendiri bagaimana petani kita membanting tulang mengerjakan kebun mereka semata-mata untuk menghasilkan makanan untuk manusia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.