Fahmi Reza didakwa buat hantaran jelik berhubung isu kuarantin menteri
KUALA LUMPUR, 10 Feb – Seorang pereka grafik dan aktivis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Twitter miliknya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lepas.
Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mohd Fahmi didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil Twitter “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” pada 3.02 petang, 10 Feb 2021.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Presint 1, Putrajaya pada 4 petang, 11 Feb tahun sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Raj Surian Pillai, yang mewakili Fahmi Reza memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
“OKS juga tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata Raj Surian.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Fahmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.