‘Port’ judi dalam ladang sawit diserbu
AYER KEROH 8 Feb – Sembilan individu termasuk seorang wanita yang sedang leka berjudi dicekup polis dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Kampung Man Lok, Kuala Sungai Baru, jam 9.30 malam, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah JSJ (JSJ) negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kaki judi ditahan berusia 29 hingga 66 tahun.
Katanya, dalam serbuan sama seorang pengusaha tanaman kelapa sawit berusia 41 tahun turut dicekup kerana disyaki menjadi penganjur aktiviti itu.
“Hasil siasatan mendapati lokasi berkenaan baru seminggu beroperasi dan disyaki ‘port’ terbesar di negeri ini.
“Mereka ditahan ini kebanyakkan pengusaha tanaman kelapa sawit, ada yang datang dari daerah Melaka tengah semata-mata untuk bermain judi Pai Kow. Malah wang pertaruhan paling rendah RM2,000 dan yang tertinggi tiada had.
“Berdasarkan siasatan awal nilai pertaruhan tertinggi adalah RM20,000. Kami percaya nilai pertaruhan setiap hari mencecah RM100,000” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Meng Seah berkata, bagi mengelakkan aktiviti itu daripada mudah dihidu pihak berkuasa aktiviti perjudian berlangsung selepas jam 6 petang dan berlarutan hingga tengah malam.
“Selain tangkapan, kami turut merampas peralatan perjudian seperti 115 keping cip dan wang tunai berjumlah RM104, 578,” katanya.
Menurutnya individu berkenaan ditahan reman bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.