Sorting by

×

Monorel Melaka: “Naik taraf, tutup atau ganti” – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Kerajaan negeri menegaskan pengoperasian Monorel Melaka di Stesen Tun Ali perlu dipandang serius dan perlu dinaik taraf rentetan kerosakan yang sering berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sekiranya kesan menaik taraf tidak mampu membawa pulangan kepada pelancongan Melaka, ia perlu ditutup sepenuhnya dan digantikan dengan produk pelancongan baharu.

“Monorel Stesen Tun Ali perlu dinaik taraf, jika tidak mampu lebih baik kita tutup operasinya dan kita gantikan dengan produk baharu agar pelancongan di sekitar Sungai Melaka menerima manfaatnya.

“Perkara ini mendatangkan kekeliruan semua pihak terutama pelancong yang ingin menaiki pengangkutan berkenaan, sekiranya ditutup ia akan menjejaskan persepsi pelancong terhadap aset ekonomi utama negeri ini.

“Monorel Tun Ali yang diseliakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan syarikat swasta perlu memandang berat ke atas perkara ini kerana ia merupakan isu berlarutan berlaku di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tinjauan MHI baru-baru ini melaporkan, aset pelancongan Melaka yang dibina hampir sedekad itu didakwa penduduk telah ditutup akibat kerosakan yang dihadapi.

Malah, rata-rata peniaga di kawasan terbabit buntu apabila sering ditanya pelanggan yang berhasrat menaiki pengangkutan itu untuk mengelilingi Sungai Melaka terutama waktu malam.

Dilema Monorel Stesen Tun Ali yang dibina sekitar RM16 juta itu sering menghadapi masalah sama sejak beberapa tahun dahulu malah pernah dihentikan operasi hampir empat tahun.

Malah, masalah lain juga pernah berlaku apabila ada penumpang terkandas di dalamnya dan memerlukan kerja-kerja menyelamat bagi menurunkan penumpang.

Mercu pengangkutan yang dibina sejak 2010 itu juga telah menemukan ‘khabar gembira sementara’ apabila ia beroperasi semula pada penghujung tahun 2017, namun dihentikan semula baru-baru ini.

Views:

683
Kongsi :
Previous post MBMB galak haiwan terbiar dikembiri
Next post Srikandi lancar kempen derma buku
Ubah saiz-+=