Tanam sayur guna fertigasi meja memang berbaloi
LONDANG 7 Feb – Biarpun terpaksa menempuh pelbagai dugaan akibat serangan pandemik COVID-19 lebih dua tahun lalu namun ia bukan penghalang untuk terus berjaya dalam industri pertanian di negeri ini.
Usaha mengerjakan tanah keluarga tetap diteruskan biarpun berhabis puluhan ribu ringgit untuk membangunkan sektor pertanian agar selari dengan perkembangan teknologi yang efisien dan menjimatkan pengunaan tenaga.
Bagi usahawan tani, Ahmad Fairus Muhamad, 40, pendedahan terhadap penanaman fertigasi meja sebagai teknik baharu dalam sektor itu tetap diteruskannya tanpa menghiraukan dugannya sebelum ini.
Katanya, becucuk tanam bukan sekadar pekerjaan keduanya tetapi sebagai terapi melepaskan tekanan selepas kepenatan menyelesaikan urusan di syarikat tempatnya bertugas.
Jelasnya sebelum ini, dia mengerjakan ladang seluas 8.09 hektar namun terjejas teruk akibat pendemik COVID-19 hingga menyebabkan dia hampir berputus asa.
“Ketika itu saya jangka tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)1.0 tak lama tapi berlanjutan hingga berbulan-bulan, memburukkan lagi keadaan apabila 20 pekerja yang pulang ke Riau, Indonesia terkandas di sana selepas pintu sempadan ditutup.
“Ketika itu, saya usahakan pelbagai tanaman seperti timun, sawi, kangkung, bayam, bendi, petola dan peria yang ditanam mengikut petak.
“Saya tetap tidak mengalah kerana sudah berkecimpung dalam sektor ini sejak 10 tahun lalu dan berasa janggal sekiranya ditinggalkan terus. Sekarang saya guna teknik baharu ini di tanah seluas 0.2 hektar,” katanya.
Ahmad Fairus, mengeluarkan modal RM35,000 untuk membina sistem fertigasi meja yang diyakini mampu mengurangkan penggunaan pekerja, baja dan racun.
Ujar Muhamad Fairus, biarpun sebelum ini hampir 10 tan sayur dihasilkan sehari namun dia tekad untuk hanya meneruskan tanaman sawi dan ketumbar menggunakan teknologi berkenaan.
Sehingga kini, sebanyak 24 petak meja yang berukuran 6×50 kaki persegi dibinanya sejak lima bulan lalu mampu menghasilkan kira-kira 50 kilogram sawi buat sepetak meja dalam tempoh sebulan.
“Sebenarnya kaedah konvensional lagi berpatutan namun teknologi ini juga diperlukan bagi mengurangkan penggunaan baja dan racun.
“Tapi kalau nak pusing modal ia perlu masa yang lama kerana setiap kali tuaian hanya akan memperoleh sekitar RM8,000 dan itu pun belum lagi ditolak kos gaji pekerja dan operasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.