Sorting by

×

Omicron: MPN akan adakan mesyuarat lebih kerap

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mengadakan mesyuarat lebih kerap selepas ini susulan cabaran gelombang Omicron yang sedang dihadapi negara dan jumlah jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MPN akan mengadakan mesyuarat esok dan hujung bulan ini bagi membincangkan langkah-langkah pemulihan negara.

“MPN perlu pastikan negara mampu menghadapi proses pemulihan dengan sebaik mungkin dalam jangka masa yang tidak terlalu panjang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) di sini, hari ini.

Beliau berkata ekonomi negara kini dilihat semakin cergas dengan ramai sudah keluar bekerja dan hasil negara juga bertambah.

“Bagaimanapun saya masih berpendapat usaha kita belum lagi berjaya sepenuhnya. Apa lagi dengan cabaran pandemik yang masih berterusan, varian Omicron dan data mutakhir yang meningkat lebih daripada biasa,” katanya.

Malaysia mencatatkan trend peningkatan jangkitan harian COVID-19 sejak minggu lepas apabila kes positif mencecah lima angka sejak semalam dengan lebih 99 peratus merupakan kes kategori satu dan dua.

Mengulas mengenai geran penyelidikan MPDP oleh badan pemikir bebas Institut Masa Depan Malaysia atau MASA, Muhyiddin yang juga Pengerusi MASA berkata MPDP memberi peluang kepada ahli akademik dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk terlibat dalam Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang sedang dirangka MPN.

Beliau berkata MPDP mendapat sambutan menggalakkan dengan sebanyak 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta serta badan bukan kerajaan diterima.

“Daripada jumlah itu, 30 kertas cadangan dari 10 IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan diterima, merangkumi bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari,” disenarai pendek, katanya.

Muhyiddin berkata mereka yang terpilih menerima geran penyelidikan RM10,000 untuk setiap ringkasan polisi yang bakal dihasilkan selain digalak menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal dalam dan luar negara. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post Ramadan dijangka tiada telur?
Next post Tanam sayur guna fertigasi meja memang berbaloi
Ubah saiz-+=