Redah ombak, ‘catuk’ teritip demi juadah eksotik
TANJUNG BIDARA 6 Feb – Tidak disangka, bongkah batu yang tersusun di pesisir pantai menjadi habitat hidupan laut yang boleh dijadikan juadah seisi keluarga.
Teritip yang hidupnya menempel di batu-batu dalam air rupanya menjadi antara makanan termahal, eksotik dan jarang ditemui di pasaran umum.
Walaupun dianggap menggelikan bagi sesetengah orang, namun mencatuk teritip merupakan antara aktiviti masa lapang buat anak jati Kampung Balik Batu, Nursiah Said, 62.
Kudrat warga emas itu dilihat masih teguh mengharung ombak pantai yang semakin surut demi mencari santapan ‘mewah’ itu.
Meskipun berdepan cabaran seperti terpijak batu tajam atau diserang hidupan berbisa di dalam air, namun ia tidak menghalangnya untuk meneruskan aktiviti tradisi sejak dia berumur belasan tahun lagi.
Walaupun aktiviti mencatuk dalam kalangan orang kampung tidak lagi semeriah dahulu, namun Nursiah masih meneruskannya kerana amat menggemari tekstur dan rasa manis isi teritip.
“Teritip ini ada di setiap batu di kawasan ini dan ketika air mula surut ia paling sesuai untuk mencarinya.
“Malah, kata orang-orang tua, musim teritip akan banyak ketika pokok bacang berbuah.
“Teritip enak dimasak sambal selain itu ia boleh dijadikan perencah bersama mi suah goreng,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia yang berseorangan mencatuk teritip di kawasan itu menggunakan alatan yang direka khas dinamakan pencatuk dan mengambil masa sejam untuk memperoleh sekurang-kurangnya 100 gram hidupan itu.
Katanya, makanan itu lebih digemari kaum Cina sehinggakan ia boleh dijual mencecah RM20 bagi 100 gram isi teritip.
“Dekat pasar di sekitar negeri ini memang susah nak cari orang jual teritip dan kalau nak pun selalunya orang kampung yang jual, itu pun tak banyak.
“Harganya satu bekas yang direndam dan ditimbang bersama air pun mencecah RM20 buat 100 gram, memang mahal hidupan ini sebab dah kurang yang mencarinya.
“Malah orang sekarang pun tak tahu hidupan ini boleh dimakan sedangkan rasanya lebih manis daripada rasa kepah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.