Sorting by

×

MARA pantau 55 MRSM susulan kes COVID di Maktab Tawau

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Feb –  Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan, di kesemua 55 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.

Pengerusinya Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata ini susulan tercetusnya satu kluster COVID-19 baharu di MRSM Tawau, Sabah baru-baru ini, yang mengakibatkan 140 pelajar masih dikuarantin hingga kini akibat dijangkiti, manakala pelajar yang pulih telah dibenarkan pulang.

Katanya pemantauan ke atas semua pelajar itu akan dilaksanakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Kami sentiasa memantau keadaan anak-anak kita yang masih berada di MRSM, terutamanya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu kedua Februari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata menjelang kemasukan penuh pelajar bagi sesi 2022 ini, MARA turut menyarankan agar pelajar-pelajar yang belum divaksinasi agar masing-masing dapat melengkapkan dua dos, bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak berasa risau dan terus menghubungi pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang situasi semasa, bagi memastikan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan berasa tenang dan tidak tertekan.-BERNAMA 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post 34 kesan tikaman di badan isteri dibunuh suami
Next post Kes COVID-19 meningkat lebih 9,000 hari ini
Ubah saiz-+=