UTeM jalin kerjasama sinergi bersama 16 rakan industri
AYER KEROH 3 Feb – Sebanyak 16 industri menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi mewujudkan sinergi lebih dinamik membabitkan dua pihak.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM Prof Dr Ghazali Omar berkata, MoU itu sempena program Work-Based Learning (WBL) dari seluruh negara hingga 2026.
Katanya, kerjasama strategik itu akan memberi manfaat terhadap perkembangan akademik dan penyelidikan yang memberi impak serta pelajar di UTeM boleh menjalani Latihan Industri (LI) selama satu tahun di industri yang diingini.
“MoU hari ini adalah satu catalyst, cadangan atau satu aktiviti yang awal kita buat untuk kita move forward. Saya ingat ini adalah sesuatu yang kita lakukan demi menyahut seruan daripada kerajaan.
“Jadi apabila pelajar keluar atau graduate, mereka dapat mengaplikasi apa yang telah dipelajari dan pengalaman yang ada di industri dan tidak perlu lagi proses training, comprehensive teaching and training kerana kita nak bila habis belajar, pelajar sudah sedia di industri supaya boleh menjadi marketabilty,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis menandatangani MoU bersama 16 rakan strategik menerusi Program Work-Based Learning (WBL) di Hotel Ames, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Amtarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan lain-lain kenamaan.
Antara 16 syarikat yang menandatangani MoU bersama UTeM ialah 3D Gens Sdn Bhd, Teras Tegap Agriculture Sdn Bhd, Glasfil Polymer Sdn Bhd, I-Nano Technology Sdn Bhd, I-Petro Sdn Bhd, ACSON Malaysia Sdn Bhd dan Prihoda Malaysia Sdn Bhd.
Selain itu, MoU turut dimeterai bersama Carrier Malaysia Sdn Bhd, Dai Lieng Berhad, PUSPAWN, Acis Technology Sdn Bhd, Hadi Venture Sdn Bhd, Ares Energy Sdn Bhd, Sher Engineering & Consultancy Sdn Bhd, Auro Technologies Plt dan Terra Drone Technology Malaysia Sdn Bhd.
Mengulas lanjut Ghazali berkata, MoU itu turut berupaya melaksanakan pemindahan pengetahuan dan kemahiran, melaksanakan Sharing Session dengan wakil-wakil industri, guna sama peralatan dan kemudahan penyelidikan serta lain-lain.
“Kita (UTeM) juga akan menambah kolaborasi dengan pelbagai industri dan syarikat lain pada masa akan datang sebagai platform menjana kerjaya para pelajar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.