MPC saran pemain industri ekonomi digital manfaat penubuhan unit #MyMudah
KUALA LUMPUR, 1 Feb – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berharap para pemain industri ekonomi digital dapat memanfaat sepenuhnya penubuhan Unit #MyMudah di Dewan Perdagangan Digital Malaysia (MDCC) untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi perniagaan.
Ketua Pengarah Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata landskap ekonomi negara dan global terus berubah dengan dipengaruhi perkembangan semasa, menyaksikan teknologi digital menjadi antara faktor penting yang memberi kesan kepada perubahan tersebut.
Pada masa yang sama, teknologi digital turut memberi impak kepada pertumbuhan produktiviti dan daya saing perniagaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pendapatan dari ekonomi digital merekodkan nilai sejumlah RM801.2 bilion di sepanjang bulan Januari hingga September 2021, dengan peningkatan sebanyak 23.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Berdasarkan trend kenaikan ini, peraturan perniagaan yang berkaitan dengan ekonomi digital harus diperkemaskan agar ia menyokong persekitaran dan aktiviti perniagaan yang berkaitan,” kata Abdul Latif.
Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan dan MPC ditugaskan untuk menerajui inisiatif Unit #MyMudah yang bertujuan meringankan beban peraturan yang tidak wajar ke atas perniagaan.
Melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Unit #MyMudah di persatuan perniagaan, kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan bagi menambahbaik persekitaran perniagaan melalui semakan peraturan agar ia tidak membebankan pemain industri dengan kos pematuhan yang tinggi.
Sementara itu, Presiden MDCC, Chris Daniel Wong menyeru ahli MDCC untuk menggunakan platform #MyMudah bagi menyuarakan pandangan, isu, dan cabaran berkaitan peraturan agar pertumbuhan produktiviti ekonomi digital dapat berkembang dengan lebih pesat dan syarikat-syarikat akan lebih berdaya saing di rantaian nilai yang lebih tinggi.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.