Sorting by

×

Kluster pendidikan, ibu bapa sokong sekolah ditutup

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 1 Feb – Peningkatan mendadak kluster pendidikan meresahkan penduduk negeri ini khusus ibu bapa yang khuatir anak mereka dijangkiti COVID-19 jika tidak ada sebarang langkah menanganinya diambil segera.

Ketika tinjauan dilakukan Melaka Hari Ini ada dalam kalangan ibu bapa menyokong saranan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Dr. Rusdi Abd Rahman, agar sesi persekolahan ditangguhkan sementara.

Ibu bapa ditemui lebih selesa jika sesi pembelajaran secara fizikal digantikan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Tidak kurang pula yang berharap kerajaan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di sekolah demi menjamin keselamatan anak masing-masing.

Bapa kepada empat anak, Hafizal Kamal, 47, sentiasa memantau perkembangan terkini COVID-19 di negeri ini terutama kes membabitkan pelajar daripada kluster pendidikan.

“Walaupun pematuhan SOP ada dipraktikkan di sekolah namun apabila penularan berlaku kita sebagai ibu bapa pasti risaukan keselamatan anak-anak.

“Jumlah kes ketika ini membimbangkan rasanya elok dilaksanakan PdPR, bendung dulu penularan kes membabitkan kluster pendidikan.

“Kalau dibiarkan saya risau penularan sukar untuk dikawal,” katanya.

Mardhiah Nordin, 32, pula berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah segera untuk menangani penularan jangkitan dalam kalangan murid dan pelajar.

Dia juga bersetuju jika sesi persekolahan ditutup sementara ataupun diteruskan dengan PdPR kerana anak-anak yang masih kecil mungkin tidak begitu memahami SOP.

“Dalam hal ini semua pihak perlu memainkan peranan dan lebih bertanggungjawab, ibu bapa kena pastikan anak-anak sihat sebelum dihantar ke sekolah ia sebagai langkah pencegahan awal,” katanya.

Namun Hamzah Hashim, 45, pula berpendapat penutupan sekolah secara menyeluruh tidak perlu dilakukan kerana akan mengganggu pembelajaran anak-anak sebaliknya mencadangkan jumlah kehadiran pelajar dihadkan.

“Apabila jumlah pelajar yang sedikit hadir ke sekolah secara tidak langsung penjarakan fizikal dapat dilaksanakan berbanding waktu ini yang dilihat kehadiran agak ramai.

“Ataupun untuk waktu ini utamakan calon bakal menduduki peperiksaan sahaja yang lain hadkan dengan mengikut penggiliran tetapi dalam kapasiti terhad,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post PM Ismail Sabri ucap selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2022
Next post Lelaki maut ditembak lebih 10 das di parkir kondominium mewah
Ubah saiz-+=