Sorting by

×

PTPTN catat jumlah deposit SSPN RM3.01 bilion bagi 2021

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan sebanyak RM3.01 bilion jumlah deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi 2021, meningkat sebanyak RM1.02 bilion atau 50.95 peratus berbanding RM1.99 bilion pada 2020.

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian berkenaan adalah suatu yang membanggakan dan telah memecah rekod pencapaian perbadanan itu untuk tiga tahun sebelumnya dengan RM1.14 bilion direkodkan pada 2018 dan RM1.37 bilion pada 2019.

“Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Dis 2021 ialah RM10.88 bilion manakala terimaan deposit berjumlah RM3.01 bilion bagi tahun 2021, merupakan 167.08 peratus berbanding sasaran 2021 sebanyak RM1.8 bilion.

“Terimaan ini juga merupakan 27.63 peratus daripada keseluruhan deposit yang diterima sejak SSPN diperkenalkan pada 2004,” katanya.

Beliau berkata bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN, sebanyak 421,281 akaun telah dibuka pada tahun lepas melepasi sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun dan sehingga 31 Dis lepas, sebanyak 5.24 juta akaun telah dibuka.

Wan Saiful berkata bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, PTPTN turut menyediakan tambahan kemudahan saluran bayaran balik dan simpanan secara dalam talian melalui kerjasama strategik bersama pihak lain seperti ShopeePay, BESTPay, KiplePay, KelantanPay, PayHalal, AnsaraPay dan SpayGlobal.

Selain itu, saluran bayaran melalui perbankan internet seperti JomPay dan bank-bank terpilih serta perkhidmatan e-Pay turut disediakan di terminal lokasi terpilih.

“Selaras dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang turut menumpukan kepada usaha pendigitalan PTPTN, inisiatif yang dilaksanakan ini adalah sebagai langkah awal PTPTN ke arah tersebut.

“Dari semasa ke semasa, PTPTN sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seiring dengan norma baharu dan perkembangan dunia digital. Sudah tentu usaha ini tidak akan terhenti di sini dan kita akan terus mengembangkan idea meneroka transformasi pendigitalan secara komprehensif,” katanya.

Bagi 2021, Wan Saiful berkata PTPTN telah berjaya membantu seramai 140,977 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan berjumlah RM3.51 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 70,412 pelajar atau 49.95 peratus adalah dari golongan B40 dan kurang berkemampuan, melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM1.95 bilion manakala jumlah bayaran balik pinjaman yang diterima pada tahun lepas adalah sebanyak RM2.36 bilion, meningkat sebanyak RM1.01 bilion atau 74.53 peratus berbanding RM1.35 bilion, pada 2020.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka terbaik di Malaysia
Next post Penggunaan dewan, premis dan fasiliti MBJB untuk kempen PRN Johor dibenarkan
Ubah saiz-+=