Penerbangan terus dijangka lonjak industri pelancongan Pulau Redang
KUALA NERUS, 31 Jan – Industri pelancongan Pulau Redang dijangka bertambah rancak dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ke Lapangan Terbang Pulau Redang menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan, SKS Airways.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata dengan adanya perkhidmatan itu, pelancong kini memiliki pilihan sama ada untuk menggunakan jalan laut atau udara untuk ke pulau berkenaan.
“Apabila pintu sempadan negara dibuka kelak, kita jangka lebih ramai pelancong dari luar negara akan ke Pulau Redang dengan adanya akses melalui udara selain satu lagi operator, syarikat penerbangan sedia ada Berjaya Air.
“Secara tidak langsung, ia dapat memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya selepas menyambut penerbangan sulung Twin-Otter DCH6-300 yang membawa 19 penumpang hari ini.
Pesawat itu bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 8.30 pagi dan tiba di Padang Terbang, Pulau Redang kira-kira 9.50 pagi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Faruk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Unit Perancangan dan Strategik SKS Airways, Hasmadi Muhamad.
Menurut Ariffin dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus, sektor pelancongan pulau yang terpaksa ditutup pada musim tengkujuh dijangka dapat beroperasi seperti biasa.
Sementara itu Hasmadi berkata pihaknya memilih Pulau Redang kerana yakin dengan prospek pelancongan yang besar dan permintaan yang tinggi.
“Selain Pulau Redang, kami juga menawarkan penerbangan terus ke Pulau Pangkor dan akan diperluas ke Pulau Tioman pada suku kedua tahun ini.
“Untuk Pulau Redang, setakat ini kekerapan hanya satu penerbangan sehari dan akan ditambah kepada dua kali sehari bermula 7 Mac depan,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.