Sorting by

×

Kampung Warisan Kebudayaan semarakkan sambutan Tahun Baharu Cina di Alor Setar

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ALOR SETAR, 31 Jan – Kampung Warisan Kebudayaan Pertubuhan Kebajikan San Sheng di sini yang akan dibuka semula esok, dijangka akan menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina khususnya bagi masyarakat Tiong Hua di Kedah.

Kampung tersebut yang dihiasi dengan pelbagai ciri kebudayaan Cina menjadi destinasi yang sering dikunjungi masyarakat Cina untuk meluangkan masa bersama keluarga dan kenalan terutama sempena sambutan perayaan itu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan San Sheng Alor Setar Ong Soon Boon berkata kampung warisan itu yang sebelum ini ditutup dua tahun akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir, akan dibuka semula selama 15 hari sehingga malam sambutan perayaan Chap Goh Mei.

Menurut beliau pihaknya telah membuat persiapan sejak dua minggu lalu bagi menghiasi kawasan kampung yang berkeluasan 9,000 kaki persegi itu dengan pelbagai elemen kebudayaan sebagai persediaan menerima kedatangan pengunjung khususnya di negeri ini.

“Ini kita buat sebagai tempat kebudayaan untuk pelancongan di Kedah yang kita telah buka sejak tahun 2010 sehinggalah hari ini. Tapi kita tutup dua tahun lepas sebab COVID-19 dan banjir.

“Tahun ini kita buka semula tapi tidak banyak kawasan kampung ini yang dibuka kerana kami terpaksa hadkan keluasan yang boleh dikunjungi bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) (mengawal penularan COVID-19),” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Katanya, walaupun terpaksa mengehadkan kawasan yang boleh dikunjungi, namun masih terdapat 75 tempat yang dihiasi elemen seni kebudayaan, bunga-bungaan serta pelbagai lampu neon yang cantik bagi menarik kedatangan pengunjung untuk bergambar terutama pada waktu malam.

Sementara itu, Penasihat Tetap Pertubuhan Kebajikan San Sheng Alor Setar Pang Hu Kong berkata selain menonjolkan seni kebudayaan Cina kampung tersebut turut memaparkan aspek kebudayaan kaum lain termasuk Melayu, India dan Siam.

“Kampung kebudayaan ini, bukan sahaja kebudayaan Cina sahaja, sebab dalam Malaysia ada tiga bangsa utama, di Kedah (ada) lagi bangsa Siam…jadi kita juga paparkan budaya masyarakat Siam di sini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pembukaan kampung kebudayaan itu akan mengikut SOP yang ditetapkan termasuk mengehadkan jumlah pengunjung kepada seramai 400 orang sahaja pada satu-satu masa.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1185
Kongsi :
Previous post Op Tahun Baharu Cina : JPJ Terengganu keluarkan 390 saman sejak 25 Jan lepas
Next post Belum cukup umur sudah berani ‘ronda-ronda’
Ubah saiz-+=