Sorting by

×

25 hari, 50 kes direkodkan KPDNHEP Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENGKALAN BATU 27 Jan – Sebanyak 50 kes membabitkan pelbagai kesalahan direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka sepanjang 25 hari pertama tahun ini.

EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, kes itu direkodkan pihaknya hasil pemeriksaan di 3,600 premis pelbagai peringkat seperti pengilang, peruncit dan pemborong.

“Setakat ini kami sudah keluarkan kompaun terhadap 41 kes manakala bakinya masih dalam siasatan lanjut. Daripada jumlah itu 35 kes disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan nilai kompaun RM6,500.

“Tujuh kes lagi membabitkan kesalahan dibawah Akta Timbang Dan Sukat dengan nilai kompaun RM2,100.

“Enam kesalahan turut dikesan dibawah Akta Pelindungan Pengguna dan dua lagi kes dibawah Akta Kawalan Bekalan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM1000,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan menjelang Tahun Baharu Cina bersama Pengarah KPDNHEP negeri Norena Jaafar di Pasar Besar MBMB, Bachang, di sini, hari ini.

Hee Sem berkata, sepanjang musim perayaan ini KPDNHEP memberi jaminan bekalan barangan mencukupi bagi menampung keperluan selain pengguna diingatkan agar tidak melakukan pembelian panik.

Sementara itu, Norena berkata, bekalan minyak masak di Melaka mencukupi dan tidak mengalami kekurangan.

“Tiada isu minyak masak, sekarang ini kita dapati setiap orang beli dalam jumlah maksimum dengan tiga paket seorang.

“Untuk makluman setiap peruncit ada had untuk mengambil bekalan kerana mereka tiada stor yang besar untuk simpanan jadi dalam tempoh untuk menambah balik bekalan daripada pemborong ia mengambil masa,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

781
Kongsi :
Previous post ‘Little Beijing’ Melaka jadi tumpuan menjelang Tahun Baharu Cina
Next post Rayuan Najib untuk kembalikan semula saman terhadap Ambank Islamic, dua lagi ditolak
Ubah saiz-+=