Sorting by

×

Ekonomi Malaysia sedang pulih

Masa Membaca:4 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Ekonomi Malaysia sedang mencatatkan pemulihan dalam keluk berbentuk ‘V’ selepas mengalami impak COVID-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada suku kedua tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata keadaan bagaimanapun masih belum reda berikutan cabaran berkaitan pandemik itu yang masih dihadapi Malaysia serta di negara-negara lain.

Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 apabila negara terpaksa melaksanakan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Pada suku kedua 2019, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus.

“(Kita menyaksikan) penguncupan mendadak pada April (ketika langkah-langkah pembendungan dilaksanakan) kepada peningkatan ketara apabila perintah kawalan pergerakan itu dilonggarkan.

“Sehubungan itu, keadaan ekonomi beransur-ansur pulih dan peningkatan itu adalah lebih kukuh pada 2021,” katanya pada majlis taklimat bersama Pengarang-Pengarang Kanan Media pada Khamis lepas.

Beliau berkata berikutan itu, BNM juga telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama empat minggu berbanding tujuh minggu.

Ekonomi negara dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan pada 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.

Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.

Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

Mengulas selanjutnya dalam sesi taklimat yang berlangsung selama 90 minit, Nor Shamsiah berkata : “Oleh kerana perintah kawalan itu dilaksanakan secara tegas, kita sebaliknya dapat membuka semula sebahagian besar sektor ekonomi pada kadar lebih pantas berbanding jangkaan awal. Inilah yang dapat meminimumkan kesan buruk serta kekal terhadap ekonomi.”

Malah, tegasnya, peningkatan ketara itu dapat dilihat dalam beberapa indeks seperti sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian manakala eksport dan perbelanjaan kad kredit turut mencatat pemulihan.

Kadar pengangguran susut sedikit kepada 4.9 peratus pada Jun lepas daripada paras rekod 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Tuntutan pengangguran juga menyederhana manakala kadar penggantian (pekerja) pula meningkat, katanya.

“Penggunaan elektrik, pengambilan semula tenaga kerja, pengeluaran sektor perkilangan pula menunjukkan tanda-tanda normalisasi,” katanya.

Malah, katanya, peningkatan permintaan isi rumah itu akan memberi kesan limpahan terhadap ekonomi.

Selain itu, aktiviti pembelian baharu oleh penumpang penerbangan menyaksikan peningkatan sebanyak 6.3 peratus pada bulan Jun lepas berbanding kemerosotan ketara sebanyak 99.7 peratus pada April.

Ini akan membantu pemulihan ekonomi memandangkan perbelanjaan penggunaan oleh golongan T20 dan M40 adalah tunjang atau menyumbang 80 peratus terhadap penggunaan swasta.

“Perbelanjaan kumpulan isi rumah ini akan meningkat seiring dengan kelonggaran mobiliti domestik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Isi rumah ini juga berkemungkinan besar akan mengalihkan tumpuan perjalanan antarabangsa mereka kepada perjalanan tempatan,” katanya.

Pada tahun lepas misalnya, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM51.3 bilion bagi perjalanan ke luar negara berbanding RM26.7 bilion pada 2010.

“Oleh itu, terdapat ruang untuk kita menyalurkan semula perbelanjaan ini ke dalam ekonomi domestik dengan pelancongan tempatan akan menjadi penerima manfaat itu,” katanya.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia yang pelbagai juga akan kekal kukuh.

Malaysia juga boleh memanfaatkan permintaan lebih besar susulan pandemik tersebut seperti peningkatan perbelanjaan bagi tujuan penjagaan kesihatan dan penggunaan lebih ketara membabitkan semikonduktor dan peralatan perubatan yang mana sektor serta negara ini berperanan sebagai penggiat utama.

Ini berdasarkan kepada kedudukan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, menempatkan firma teknologi global yang terkemuka, pasaran terbesar untuk alat atau peranti perubatan di ASEAN dan di tempat ketiga di Asia dari segi persiapan menghadapi pandemik.

“Pelaksanaan dasar-dasar yang betul untuk memanfaatkan peluang dalam kawasan pertumbuhan baharu (akan dapat membantu pemulihan ekonomi). Kita boleh lakukannya kerana sudah pun memiliki asas-asasnya… kita akan mendapat manfaat hasil daripada kekuatan itu,” katanya.

Namun, Nor Shamsiah menegaskan bahawa keadaan itu tidak bermaksud negara sudah berjaya mengatasi kesukarannya.

“Kita bukan di paras (pencapaian) pada tempoh sebelum COVID-19, namun tidak akan mengalami keadaan lebih sukar. Apa yang penting adalah supaya kita dapat membuat pelaburan yang memadai dalam bidang yang dapat memperkukuh ekonomi dan memaksimumkan potensi pertumbuhan dalam sektor yang berdaya tahan terhadap COVID-19,” katanya.

Jelas Nor Shamsiah, strategi dan konsolidasi fiskal bagi jangka sederhana juga perlu dirangka manakala Rancangan Malaysia Ke-12 perlu mengambil kira dasar-dasar struktur yang perlu dilaksanakan serta disesuaikan dengan aktiviti-aktiviti normal baharu selain dapat menjana ekonomi.

Risiko kemerosotan juga masih ada selagi wujudnya pandemik yang boleh menyebabkan pelaksanaan semula kawalan pergerakan serta mempengaruhi prestasi ekonomi global, katanya.

“Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka. Oleh itu, (prestasi) ekonomi global akan turut memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada Jun lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan -4.9 peratus untuk ekonomi global pada 2020 iaitu 1.9 peratus mata lebih rendah daripada April 2020.

Bagi 2021, pertumbuhan global pula dianggarkan sebanyak 5.4 peratus.

— BERNAMA

Views:

383
Kongsi :
Previous post Padah jual minyak Cap Kapak tiruan
Next post Graduan kejuruteraan alih ke bidang usahawan elak pengangguran
Ubah saiz-+=