Sorting by

×

Ular sawa tak sempat telan ‘anak bulus’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

ALOR GAJAH 26 Jan – Seekor ular sawa hampir empat meter panjang ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah di dalam sangar kucing sebuah rumah penduduk di Kampung Ulu Seraja, Parit Melana, Durian Tunggal, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi, pemangsa seberat 20 kilogram itu membelit empat daripada enam kucing peliharaan penduduk berkenaan.

Reptilia berkenaan tidak sempat menelan bangkai kucing terbabit kerana dipercayai cuba membelit dua lagi kucing jantan ditempatkan dalam sangkar sama yang kemudian diselamatkan oleh anggota APM.

Pengadu, Hasmi Hasan berkata, terdahulu sekitar jam 3 pagi dia dan isterinya Ruzita Abu Bakar, dikejutkan dengan bunyi bising dan suara kucing mengiau dengan kuat.

“Saya tak hiraukan kerana menyangka ada kucing jantan lain yang mengganggu kucing saya. Pagi tadi anak, Nor Shuhaida Aqila, beritahu ada ular sawa di dalam satu daripada tiga sangkar ketika memeriksa kucing peliharaan kami.

“Baru kali ini kucing peliharaan kami jadi sasaran ular sawa, memang tak dinafikan saya berasa sedih dan terkejut. Hairan bagaimana reptilia itu boleh masuk kerana lubang sangkar kecil,” katanya yang memelihara keseluruhan 14 kucing baka tempatan.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama empat anggota.

Katanya, empat anggota APM diketuai Sarjan Mohamad Faizal Ahmad tiba di lokasi pada jam 7.25 pagi dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular sawa berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1988
Kongsi :
Previous post 118 peserta beraksi pada Pulau Besar New Year Challenge 2022, Sabtu ini
Next post Sarjan polis didakwa terima rasuah RM2,500
Ubah saiz-+=